Saturday, 28 June 2014

#Bab01 - Manuskrip Cinta Agung


Berkali-kali Fahri mengerling jam di tangan. Seiring dengan jarum saat bergerak, begitu jugalah degupan jantung Fahri. Cuma degupan jantung Fahri makin lama makin laju. Sampaikan Fahri dilanda sesak nafas.

"Kenapalah hari ni satu teksi pun tak ada? Kereta pula buat hal!" gerutu Fahri. Sekejap berpeluk tubuh dan sekejap lagi mundar-mandir. Teriknya matahari menambah rasa tidak puas hati yang sedang beraja.

Fahri, hari ini hari Jumaat yang penuh berkat. Mana boleh marah-marah begini. Tersenyumlah. Barulah sesuatu yang positif senang hendak datang.

Positif apanya kalau sejak 45 minit tadi dia menjadi pak tunggu di sini. Kakinya usah cerita. Memang sangat lenguh.

"Teksi!" laung Fahri bila melihat satu teksi akhirnya melalui jalan ini. Fahri sempat menjeling seorang lelaki di sisinya. Jelingan memberi amaran sebenarnya.

Teksi ini, saya punya! Jangan cuba-cuba nak naik.

Teksi bertuah itu semakin lama semakin perlahan dan pada akhirnya, berhenti betul-betul di depan Fahri. Tapi itulah, belum sempat Fahri capai pemegang pintu, ada tangan lain yang membuka pintu di sebelah kiri. Memang darah Fahri terus naik ke muka.

"Excuse me, teksi ni.."

"Maaf. Adik saya masuk wad kecemasan. Dia kemalangan tadi. Cedera parah. Tolonglah, saya betul-betul perlukan teksi ni," potong Raisa. Tidak beri peluang pada lelaki itu untuk menyudahkan kata-katanya. Kemudian dia teresak. Wajahnya ditundukkan sedikit.

"Dia.. Dia satu-satunya adik saya. Doktor kata peluang dia sangat tipis. I nak cepat sampai dekat sana. Maaf lagi sekali," luah Raisa lagi bersama suara yang tersekat-sekat. Setelah itu dia terus masuk ke dalam perut teksi. Enggan menunggu jawapan balas lelaki tersebut.

"Jalan pakcik," pinta Raisa lagi. 

Sebaik saja teksi mula bergerak, sempat Raisa berpaling pada lelaki tadi.

"Sorry," bisik Raisa. Hujung matanya yang sedikit basah diseka dengan jari tangan. Raisa tidak pernah gagal kalau membuat kegiatan sinetron bertaraf Hollywood begini.

"Pak cik, hantar saya pergi KLCC ya," pinta Raisa buat kali kedua pada pemandu teksi tadi.

"Laa.. Pak cik ingatkan anak nak pergi hospital."

"Bohong sunat, pak cik," jawab Raisa sambil tersipu-sipu. 

Raisa malu juga sebenarnya dengan pemandu teksi tersebut. Tapi ini kes darurat. Darurat tahap serius. Kalau dia lambat, boleh meletup kepala Henry. Hari ini ada perjumpaan penting dengan klien dari luar negara. Lagipun keadaan yang memaksa Raisa buat jahat begini. Pagi tadi tiba-tiba saja keretanya yang tersayang mogok.

Sementara itu Farhri masih juga terkebil-kebil setelah teksi yang diharap dapat membawanya ke tempat klien, lebih dulu diculik oleh seorang perempuan. Paling teruk, boleh pula dia kehilangan kata tadi. Lebih parah, bila lelaki di sisinya sekarang tersengih-sengih bagai kerang di pasar pagi. Seolah-olah menghantar telepati khas yang berbunyi begini;

Padan muka. Rasakan!

Fahri jeling lagi jam ditangan. Matanya terpejam rapat melihat angka jam yang menari dengan laju sebelum lekas-lekas mengambil telefon bimbit.

"Umie, lengahkan masa. I'm on the way now."

Begitulah pesan Fahri pada rakan sekerjanya. Kemudian dia bergegas menghayun langkah deras. Nampaknya hari ini dia perlu bersesak-sesak menaiki LRT.



HAMPIR satu jam kemudian, barulah Fahri sampai di Restoran Bumbu Desa. Sepasang matanya bekerja keras mencari kelibat Umie. 

Umie mengangkat tangan, memberi isyarat bahawa dia ada disitu. Wajah Umie terlihat sangat kelam. Lebih menyedihkan bila Umie cuma berseorangan.

"Mereka mana?" tanya Fahri terus. Sekali lagi sepasang matanya bekerja keras mencari kelibat klien yang sepatutnya ada bersama mereka.

"Dah balik."

"Dah balik? Kenapa you tak tahan?"

"I was. Tapi you lambat sangat. I nak tahan macam mana lagi? Kalau I jadi mereka, I pun akan balik. Mereka tunggu you hampir dua jam. You pula tak sampai-sampai."

Fahri mengeluh keras. Tubuhnya dijatuhkan di kerusi. Sempat dia meraup wajah sendiri.

"I tak tahu nak cakap apa dengan ayah nanti. He was expecting us to get this tender," cerita Umie lagi. Seperti sengaja pula menambahkan rasa resah dan susah hati Fahri ketika ini.

Rasa resah dan susah hati Fahri sempat terhenti bila suara tawa yang begitu besar menghiasi suasana. Segera Fahri berpaling pada arah datangnya tawa yang menyakitkan hati itu. Tawa besar itu datangnya daripada seorang lelaki dengan rambut blonde

Sesaat kemudian, Fahri buka mata besar-besar. Hatinya yang memang sudah sedia sakit bertambah sakitnya. Lihatlah di sana, dia melihat dengan jelas perempuan yang menculik teksinya tadi. Bukan main bahagia lagi wajah perempuan tersebut dengan lelaki blonde tadi. Langsung tidak ada gaya sedang sedih kerana adik kemalangan teruk.

Tanpa sedar Fahri bangun dari kerusinya, 

"You nak kemana tu?" soal Umie. Dia ikut bangun.

"Tunggu sini. I need to settle some urgent business."

Some urgent business? Apa yang penting sangat sampai Umie pun ditolak ke tepi dulu?

Bersama segaris senyuman paling sinis, Fahri menghampiri perempuan tadi. Iya, perempuan yang sama. Yang telah menculik teksinya.

"Adik you yang cedera parah tadi dah sihat?" sapa Fahri bersama muka tanpa perasaan. Spontan dia berpeluk tubuh. Hanya sorotan matanya saja yang semakin tajam.

Mati terus senyuman Raisa. Hanya matanya yang berkelip-kelip melihat lelaki di hadapannya kini.

Ayoyo.. Macam mana dia boleh ada dekat sini? Habislah kalau macam ni. Raisa perlu hilangkan diri sekarang juga!

"You know him?" tanya Henry. Terlukis dengan jelas sejuta kerutan di dahi lelaki kelahiran Australia itu. Sekarang dia ikut meneliti lelaki tinggi lampai di depan mereka berdua.

Lekas-lekas Raisa menggelengkan kepalanya. Wajahnya sudah sedikit pucat bila disorot dengan sorotan paling tajam.

"Heh?" luah Fahri sepatah. Makin tajam saja sorotannya. Kalau boleh, memang dia hendak telan perempuan di depannya sekarang. Nampak polos, tapi sebenarnya handal berbohong!

"Raisa?" desak Henry sekali lagi. Pandangannya silih berganti antara Raisa dan juga lelaki yang tidak dikenali itu.

"No. I didn't know him. Let's go to other restaurant," jawab Raisa lantas segera berpaling. Baru tiga langkah, lengannya ditarik dengan kasar.

"Are you really sure you didn't know me? Sebab I rasa I kenal sangat dengan penipu macam you ni."

"Tak.. Tak kenal. You salah orang. I tak pernah jumpa you."

"Tak kenal?!" tekan Fahri dengan muka setengah tidak percaya. Kali ini suaranya sengaja dikeraskan. Sehinggakan hampir 70% pelanggan direstoran tersebut berpaling ke arah mereka.

"Let go of her. I can lodge a police.."

"Shut up! This is between me and her," bidas Fahri pada lelaki yang dipanggil Henry itu. Darahnya sedang menggelegak ketika ini. Hatinya panas bukan main.

Nampaknya Umie yang sejak tadi jadi pemerhati setia mula tidak senang duduk. Ini kerana semua mata pelanggan telah memberi perhatian seratus peratus pada Fahri. Nampak macam Fahri yang sengaja cari fasal. Nampak macam Fahri yang jahat. Umie tidak mahu begitu.

"Fahri, you buat apa ni? You jangan malukan diri sendiri dengan marah-marah macam orang gila. I tahu you stress fasal tender tu. Tapi you jangan risau sangat. I pasti pujuk ayah. Ayah takkan marah," pujuk Umie yang tidak tahu pangkal cerita.

Barulah cengkaman pada lengan Raisa terasa longgar sedikit. Lekas-lekas Raisa menarik lengan Henry lalu menghayun langkah deras meninggalkan restoran tersebut.

Percayalah, jantung Raisa sudah hampir hendak jatuh dek kerana ketakutan sebentar tadi. Sekarang dia sedang menenangkan jantungnya semula. Nafasnya yang menderu kencang tadi juga sedang diatur sebaik mungkin.

Lelaki itu garang. Garang yang bukan sedikit!





13 comments:

  1. lorh...nakal si raisa ni...kesian fahri...ni bukan sikit2 punya nakal nih...ni dah kijammmsss tau...cian hero...heeee...
    Assalamualaikum PK... ;-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummussalam wbt.. Nakal sikit2 jer ni.. Kih3

      Delete
  2. Replies
    1. Isk.. Nakal sikit jer.. Tu pn sebab darurat.. Huhuhu

      Delete
  3. mmg kenalah raisa lps ni. suka sgt cari pasal

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti Raisa kenyit mata la dekat fahri tu. Harap2 cair la hati fahri tu n x jadi nk garang2 sgt.. Ngeh3

      Delete
  4. Replies
    1. Raisa kata dia tak tahu lelaki tu garang sgt.. Kalau tahu, sumpah x buat!

      Delete
  5. mendidih jugak kalo aku duk tempat fahri.
    free2 je raisa ni dapat penampor boye. kakakakaka

    ReplyDelete
  6. Tu la...lain kali nk menipu pun agak2 la....
    Tak pasal dapat musuh baru... Raisa..raisa..

    ReplyDelete
  7. Baru dpt baca..... siput cadbury take over line tenet....
    Menarik.... mcm.best.... teruja nk baca next n3...
    ^_^

    ReplyDelete