Wednesday 10 June 2015

CeriBeri ~ Ramadhan... Ya Habib! - Bhg.01


#KOMPILASI CERPEN LIMITED EDITON
# DIA YANG TERPILIH
#IDEA KREATIF PUBLICATION
#RAMADHAN 2015

~ BAHAGIAN 01~

Cermin yang memantulkan figura itu Khadijah lihat sepuas hati. Cermin yang memantulkan figura seorang yang dibuang. Anak yang tidak dikehendaki. Anak yang dicampak di depan rumah kebajikan lebih 26 tahun yang lalu.

Iya, dia anak pungut. Anak yang tidak diketahui asal-usul keturunan. Sepasang matanya berwarna hijau zamrud, langsung tidak sama dengan warna mata anak asia yang lain. 

Kata Yaya, Khadijah pasti ada darah arab yang dicampur dengan asia. Kata Yaya lagi, ayah dan ibu kandung Khadijah sangat rugi sebab meninggalkan Khadijah di depan rumah kebajikan. Kata Yaya juga, ayah dan ibu angkatnya sangat beruntung sebab ada anak seperti Khadijah

Rugi dan beruntung? Rasanya Yaya silap. Khadijah hanya anak yang menyusahkan.Sebab itu dua kali dia disisihkan.

Khadijah hela nafas panjang. Itu cerita kelabu dalam hidupnya. Perlahan-lahan jari tangannya mengambil getah rambut sembari mahkota yang selalu lepas terurai diikat belakang.

“Hati kau dah bulat, Khadijah?”

“Ya.”

Yaya menghampiri Khadijah. Tubuh tinggi semampai Khadijah dirangkul dengan kemas.

“Alhamdulillah,” bisik Yaya. Lama sebelum dia membantu Khadijah menutup mahkota ikal itu dengan tudung yang juga berwarna hitam. Selepas itu, dia meraih pula sehelai purdah.

“Kalau kau jumpa dia, pasti dia terkejut. Aku risau dia tak cam saja bila kau berpurdah begini.”

“Dia pasti cam.”

Begitu yakin jawapan Khadijah, sehingga Yaya tidak punya ayat untuk membantah.

“Kau masih tunggu dia?”

Khadijah pula yang tidak punya jawapan. Nafas yang dihela mula terasa sempit bila Yaya bertanya begitu.

“Setiap malam aku titipkan doa supaya dapat jumpa dia semula.”

“Dan bila kau jumpa dia, kau nak dia jadi imam kau?”

“Kalau Allah izinkan, Yaya.”

“Kalau ketika kau jumpa dia, dia sudah berpunya. Apa kau nak buat?” tekan Yaya tiba-tiba.

“Macam mana pula kalau kau memang takkan jumpa dia lagi?” tekan Yaya terus.

“Berkelana lagi.”

“Khadijah!” jerit Yaya, jelas tidak puas hati dengan jawapan Khadijah. Menurut Yaya, Khadijah hanya membuang masa. Padahal bukan tidak ada lelaki lain yang cuba mendekat, cuma semuanya Khadijah tolak.

Bahu Yaya, Khadijah sentuh. Menenangkan Yaya yang mula risau.

“Yaya, aku mencari imam seteguh Ibrahim, lalu aku harus selalu sekuat Hajar dan Sarah. Andai kata Fahri bukan Ibrahim yang aku cari, mungkin Allah akan kirimkan Ibrahim yang baru.Mungkin dalam proses menunggu Ibrahim yang baru, berkelana itu harus. Doakan yang baik-baik ya.”

Sekali lagi tubuhnya dipeluk dengan erat. Begitu kemas sehingga Khadijah sedikit susahhendak bernafas. Namun rasa sedikit susah hendak bernafas itu berganti rasa terkejut ketika Yaya mula teresak.

“Aku selalu doakan yang terbaik untuk kau, Khadijah. Tak pernah sekalipun aku lupa untuk titipkan doa.” 

Khadijah memujuk dengan gosokan lembut di belakang tubuh Yaya.

“Semoga kau lekas jumpa Fahri semula. Semoga dia belum berpunya. Semoga dia imam kau yang Allah pilih. Supaya dia ajarkan kau makna bahagia yang sebenar.”

“Insya-Allah, Yaya. Jangan menangis lagi ya. Nanti Tawfiq fikir aku buat kau menangis pula. Suami kau sekarang pantang nampak mata kau merah. Dia mesti tanya aku dulu sebab kau menangis.”

“Memang kau selalu buat aku menangis. Dari mula-mula kau dihalau dari keluarga sampai sekarang. Dah sembilan tahun aku lihat semua kesusahan kau.”

“Okey, selepas ni aku hidup bahagia. Supaya seorang Yaya tak menangis sebab aku lagi.”

Aduh… Tambah kuat saja tangisan Yaya. Macam mana ni? Khadijah bukan jenis yang pandai memujuk.

“Aku harap Fahri tu cepat muncul. Kau tunggu dia lama. Lama sangat. Fahri tu pun satu. Dia ke mana? Malaysia ni bukan luas sangat pun. Fahri bengong!”



*** 
ORDER DIBUKA SEKARANG (16/06/2015)
LIMITED EDITION
SEKALI CETAK SAHAJA
STOK TERHAD - ADA 1500 PCS SAHAJA
DIJUAL SECARA ONLINE SAHAJA
JANGAN SAMPAI TERLEPAS





3 comments:

  1. Aii pula harap kompilasi ni cepat muncul 😄😄😄😄😄

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti dia muncul la tu darling.. Lepas tu, mana tahu versi novel dia pula datang.. Mana tahu la, kan? Keh3

      Delete
    2. Jgn nak mana tau sangat lah PK... itu mendera perasaan namanya.... 😜

      Delete