Monday 1 December 2014

#Bab02 - Buat Aku Tersenyum


Kak Long Yana melambaikan tangan pada Ain. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Sayangnya Ain tetap tidak perasan. Ain sibuk dengan gadget iPhonenya. Tidak sampai sesaat, telefon bimbit Kak Long Yana telah berbunyi. Nampaknya panggilan daripada Ain. 


"Pandang kanan sekarang," pinta Kak Long Yana. Tidak peduli pada suara Ain yang sibuk bertanya dimana tempatnya menunggu. 


"Kak long," luah Ain. Namun itulah, pelukan Kak Long Yana yang lebih dulu membalas sahutan Ain. Begitu erat sehinggakan Ain susah hendak bernafas. 


"Alhamdulillah... Adik kakak ni tak perlu merantau lagi lepas ni." 


Ain hanya tersengih-sengih mendengar cerita hati Kak Long Yana. 


"Alhamdulillah juga adik kakak yang seorang ni tak sangkut dengan lelaki Australia. Kalau sangkut, jenuh kak long ni nak berulang ke sana." 


Sekarang tawa Ain meletus. Ada-ada saja celoteh Kak Long Yana ni.  


"Lepas ni boleh kahwinlah, kan? Dengan lelaki Malaysia." 


Tawa Ain mendadak terhenti. Sorotannya cukup tajam membalas sorotan bernada usikan Kak Long Yana. Tiga saat berlalu, tawa Kak Long Yana pula yang meletus. Muka terkejut bercampur seriau Ain memang seronok dilihat. 


"Kak long jangan macam-macam." 


"Pantang kak long sebut isu kahwin, muka tu terus kelat kemudian seriau," balas Kak Long Yana. Masih juga ketawa.  


"Lapar, kak long. Kak long ada masak ketam masak lemak cili padi macam yang Ain minta tu, kan?" 


Ain mengulum senyuman ada makna. Dalam erti kata sebenar, Ain sedang mengubah topik berlainan. 


"Ada. Untuk adik kesayangan kak long ni, apa saja kak long sanggup buat. Asalkan dia tersenyum." 


"Thank you, kak long. Thank you so much. Abang Ilham sihat? Leya?" 


"Semua sihat. Kakak ni pun dah terlebih sihat." 


Giliran Ain pula ketawa. Dan misi Ain juga berjaya. Kak Long Yana sudah lupa tentang isu kahwin. 


"Tunggu sekejap. Kawan kak long tak sampai lagi. Tadi dia pergi wash room sekejap." 


"Kawan?" 


"Abang Ilham kerja hari ni. Jadi dia tolong hantar kak long saja tadi.” 


Ain manggut-manggut. Tumpang kereta kawan Kak Long Yana ya? 


“Kebetulan kawan kak long pun balik dr Australia. Kereta dia parking dekat sini. Dia pelawa, kak long terus setuju. Jadinya, nanti kita tumpang dia." 


"Kawan dari Australia? Kawan rapat ya?" 


"Bolehlah kira rapat. Dia ke Australia sebab kawan dia kahwin dekat sana." 


"Lelaki?" 


Kak Long Yana angguk. 


"Kawan sekolah kak long. Satu kelas. Ain pun pasti kenal." 


Ayat 'Ain pun kenal' Kak Long Yana serta-merta memberi rasa gementar dalam diri Ain. Debaran hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Ain tidak pernah begini, tetapi hari ini Ain jadi begini. 


Ain masih berfikir tentang kawan satu sekolah Kak Long Yana bila suara orang meminta maaf kerana lambat mula terdengar. Kemudian saling bersahutan dengan suara mesra Kak Long Yana. 


Pada saat Ain berpaling, sepasang matanya tidak berkejip. Sempat Ain berundur setapak kebelakang. Elok saja mata Ain melihat ke arah bahu lelaki itu. Mahu memastikan lelaki ini bukan lelaki yang sama. Lelaki yang Ain beri hadiah istimewa sewaktu dalam penerbangan tadi. 


Bahu kanan lelaki itu nampak basah. Kawasan jajahan tompohan itu juga bertambah luas. Mungkin baru dibersihkan. Dan Ain sendiri,  sudah nyaris hendak pengsan buat kali kedua. Ini kebetulan atau suratan? 


"Benjamin Fahmy. Ain kenal, kan?" 


Suara Kak Long Yana begitu jelas, cuma otak Ain saja yang tidak mampu mentafsir segala kata-kata Kak Long Yana. Otak Ain telah dibekukan oleh sorotan Benjamin Fahmy. 


Ya Tuhan... Kenapa mesti Benjamin Fahmy yang muncul di depan mata Ain sekarang? Kenapa mesti makhluk yang paling Ain elakkan ini yang perlu Ain jumpa? Dan paling teruk, sepanjang penerbangan tadi, lelaki ini yang ada di sebelah Ain. Pandainya Benjamin Fahmy ni berlakon! 


"Kak long, Ain baru teringat yang Ain nak jumpa kawan. Ain naik teksi sajalah. Kak long balik dengan dia ni." 


"Dia ni?” luah Benjamin Fahmy tiba-tiba. Ada kerutan yang terlukis pada dahi lelaki tersebut.


“Benjamin Fahmy, Ain. You boleh panggil I Fahmy. Macam dulu-dulu juga,” sambung Benjamin Fahmy kemudian. Kerutan pada wajahnya telah hilang, diganti dengan segaris senyuman tipis. 


Macam dulu-dulu juga? Maaflah Benjamin Fahmy, cerita dulu-dulu pun Ain tak nak ingat. 


"Kak long balik dengan Fahmy, Ain pula naik teksi jumpa kawan Ain tu." 


"Lelaki atau perempuan kawan Ain tu?"  


Sekali lagi Benjamin Fahmy yang bersuara. Mengalahkan Kak Long Yana pula si Benjamin Fahmy ni.  


"Tengah-tengah," jawab Ain. Geram sebenarnya bila disoal ala-ala seperti telah melakukan jenayah berat. Kak Long Yana pun tak tanya apa-apa. Benjamin Fahmy ini pula yang melebih-lebih. 


Kak Long Yana ketawa mengekek. Sejak tadi dia menjadi orang tengah. Benjamin Fahmy dengan Ain kalau tak berperang memang takkan mesra. 


"Kawan mana pula Ain nak jumpa ni? Tadi Ain juga yang tak sabar nak balik rumah. Kalau Ain tak jadi balik rumah, ketam masak lemak cili padi tu siapa yang nak habiskan?" 


Ain bolak-balik. Kecur air liur Ain bila mengingati ketam masak lemak cili padi tersebut. Tapi Ain pun tak nak tumpang kereta Benjamin Fahmy. Kak Long Yana ni macam sengaja saja hendak kenakan Ain. Macamlah Kak Long Yana tak tahu betapa panasnya hubungan Ain dengan Benjamin Fahmy. Kalau tidak menggelegak, memang tidak sah. 


"Macam mana?" desak Kak Long Yana. Sedikit pun tidak prihatin dengan masalah Ain. 


"Ain ikut kak long dengan Fahmy balik,” putus Ain akhirnya. Kalah pada godaan ketam masak lemak cili padi. 


“Kawan Ain macam mana?” 


“Ain jumpa dia lain kali,” bohong Ain. Padahal Ain tak janji hendak jumpa siapa-siapa pun hari ni. Ain jadi bijak putar belit begini sebab Benjamin Fahmy!  


Sebaik saja sampai di tempat letak kereta, Ain nyaris pengsan lagi. Lihatlah, cantik betul kereta Benjamin Fahmy. Begitu 'terkini'. Siapa yang melihat pun pasti menoleh tiga kali. 


Honda Accord, tidak tahu generasi yang ke berapa. Yang pasni kereta lama. Kereta tua dengan cat hitam yang tidak berkilat langsung. Ketika Benjamin Fahmy menghidupkan enjin kereta, Ain nyaris melatah pula dek kerana terkejut. 


Jujur ya, macam motobot saja bunyi enjin kereta Benjamin Fahmy. 


Bear with it, Ain. Buruk-buruk pun, kereta ni masih boleh bergerak.” 


Memang boleh bergerak, tetapi tersengguk-sengguk. Otak Ain pun ikut tersenguk-senguk. 


Hampir satu jam kemudian, kereta Honda Accord warga emas Benjamin Fahmy masih lagi di atas jalan raya. Bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam. Pakej paling bagus bila Benjamin Fahmy kata penghawa dingin keretanya tiba-tiba saja tidak berfungsi. 


Jujur lagi ya, Ain rasa macam berada dalam sauna yang terlebih panas. Paling aneh, Kak long Yana boleh tidur dengan lenanya. 


"Lajulah sikit. Macam ni, lebih baik I jalan kaki. Kalau jalan kaki, dah lama sampai agaknya," bebel Ain. Sebenarnya Ajn tidak tahan kepanasan. Badannya bermandi peluh dengan wajah merah padam menahan panas. 


"Kalau laju-laju, enjin panas. Nanti rosak tengah jalan. Kita bertiga juga yang susah."


Kali ini Ain hampir hendak menangis mendengar jawapan Benjamin Fahmy.  


"Ain." 


"Apa?" balas Ain sambil mengipas mukanya dengan jari tangan. 


"You tak kisah kalau dapat suami bawa kereta buruk macam ni?" 


Terhenti gerakan kipas manual Ain. Mulutnya separa terbuka.  


"Apa dia?" 


"Tak ada apa." 


Ain mengecilkan sepasang matanya. Mahu marah, namun Ain juga segan dengan Kak Long Yana. Meskipun Kak Long Yana tertidur ditempat duduk belakang, tapi kalau Ain menjerit, pasti Kak Long Yana terjaga. 


"You jangan cakap dengan I lagi. I tak nak cakap dengan you. Kalau you cakap juga, I turun dari kereta ni,” ugut Ain. 


Lagi-lagi Ain melihat senyuman khas Benjamin Fahmy. Susahnya hati Ain kalau begini. 


Akhirnya setelah puas bermandi peluh, barulah kereta Honda Accord warga emas Benjamin Fahmy sampai di depan rumah Kak Long Yana. Ain orang yang pertama sekali turun dari kereta. 


"Terima kasih," ujar Ain acuh tak acuh.  


"Terima kasih juga." 


Kening Ain naik sebelah. 


"Sebab?" 


"Ada dua sebab.”


Dahi Ain pula yang berkerut-kerut.


“Pertama, sebab you sudi naik kereta buruk ni. I anggap you tak kisah kalau dapat suami tak kaya. Kedua, sebab lukis peta dekat baju I." 


Merah lagi muka Ain. Kali ini bukan sebab panas, tetapi sebab geram dan malu. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja Ain tendang-tendang kereta warga emas Benjamin Fahmy. 


Bye, Ain.” 





LIMITED EDITION. STOK SANGAT TERHAD. HANYA ADA 1500 COPIES. 



2 comments:

  1. PK...cetak la lg buku nie....sy nk sgt miliki buku nie.....sy terlewat sbb br je tau psl PK....tlg la!!!.....

    ReplyDelete